Top Ad 728x90

Thursday, 1 January 2015

Juruterbang AirAsia Dilarang Terbang Sebab Positif Dadah

JAKARTA – Seorang juruterbang AirAsia Indonesia dilarang menerbangkan pesawat selepas ujian air kencing mendapati kapten tempatan dari syarikat penerbangan tambang rendah itu disyaki mengambil dadah jenis morfin, lapor media tempatan hari ini.

Juruterbang tersebut dikesan mengambil bahan larangan itu sejurus melalui pemeriksaan rutin air kencing setelah menerbangkan pesawat QZ7510 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di sini menuju ke terminal Ngurah Rai, Denpasar, Bali.

Suspek dikenali dengan nama singkatan FI diperiksa pasukan kesihatan penerbangan Kementerian Perhubungan Indonesia selepas berjaya mendarat di pulau pelancongan antarabangsa itu pukul 8.50 pagi tadi (sama waktu dengan Malaysia).

Hasil keputusan positif ujian pengesanan dadah tersebut, pihak berkuasa republik itu menggantung serta-merta perkhidmatan juruterbang berkenaan yang sepatutnya dijadual menerbangkan pesawat QZ7511 balik ke Jakarta pukul 9.20 malam ini.

“Kapten dengan nama FI ini sebaliknya diarahkan untuk menjalani pemeriksaan susulan di pejabat kesihatan penerbangan Kementerian Perhubungan di Jakarta untuk pengesahan secara lebih terperinci,” kata seorang pegawai kementerian, Hadi M. Djuraid.

Dalam pada itu, Presiden AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko mengesahkan laporan ujian air kencing kapten tersebut namun, menjelaskan kemungkinan berlaku salah faham kerana kebetulan juruterbang itu baharu sahaja keluar dari sebuah hospital.

Justeru ujarnya, syarikat penerbangan itu sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan juruterbang berkenaan menjalani ujian saringan kedua bagi mendapatkan kesahihan jenis bahan kimia yang diambil oleh kapten tersebut.

“Hasil siasatan kami, FI dilaporkan pernah berada di hospital dari 26 sehingga 29 Disember lalu kerana mengalami penyakit typhus dan mungkin kesan daripada ubat jenis Actifed menyebabkan dia disyaki mengambil dadah diharamkan,” tegas beliau.

Sunu pada sidang media di Surabaya mendakwa, juruterbang itu yang sudah berkeluarga turut memiliki sejarah pengalaman yang baik selama sembilan tahun berkhidmat dengan AirAsia Indonesia selain rekod peribadi bersih dari segi disiplin kerja. – mynewshub.cc

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90