Top Ad 728x90

Saturday, 24 November 2012

Dilema Kemesraan Abang Ipar


SAYA gadis berumur 19 tahun dan anak bongsu daripada sembilan beradik. Saya tinggal bersama kakak keenam serta abang ipar yang baru bernikah tahun lalu. Kakak saya sentiasa tiada di rumah, membuatkan saya dan abang ipar terpaksa tinggal berdua-duaan.

Mulanya saya tiada masalah, tetapi kebelakangan ini sikap abang ipar yang seolah-olah begitu prihatin dengan saya membuatkan saya ‘cuak’ berikutan kakak sentiasa ke luar daerah. 

Pernah sekali saya bermalam di rumah rakan tanpa memaklumkan kakak dan abang ipar. Saya dimarah oleh kakak dan keluarga kerana menyangka saya bersikap liar, sedangkan saya tidak selesa dengan sikap abang ipar yang terlampau mesra. 

Saya khuatir kalau mengadu, bimbang kakak akan berfikiran serong dan tidak mempercayai saya kerana dia lebih percayakan suaminya.



WEE


Kuala Lumpur


Dang Setia faham perasaan tidak selesa adik kerana terpaksa tinggal berdua-duaan dengan abang ipar ketika ketiadaan kakak. Luahkan rasa kekok dan gelisah itu kepada ibu bapa mahupun ahli keluarga yang akrab supaya mereka memahami situasi adik.

Lagi pun, memang tidak manis tinggal berdua-duaan bersama abang ipar kerana khuatir menjadi fitnah buat jiran yang tidak faham keadaan adik. Malah, garis sempadan untuk hubungan adik dan abang terlalu tipis iaitu dengan mengahwini kakak adik.

Andai adik bimbang alasan diberi iaitu layanan abang ipar ‘terlebih mesra’ bakal memburukkan keadaan, langkah terbaik ialah memberi alasan yang dirasakan cukup rasional supaya peluang berpindah keluar dari rumah kakak lebih terbuka.

Satu daripadanya, nyatakan usia perkahwinan abang ipar serta kakak yang baru setahun jagung semestinya memerlukan ruang sendiri.

Privasi adalah isu sesuai di sini kerana bukan mereka saja inginkan ruang, malah adik juga memerlukannya. Selain itu, soal aurat cukup terbatas membuatkan adik rimas tinggal bersama mereka berbanding bersama rakan sebaya.

Kukuhkan hujah adik, nyatakan kelebihan tinggal bersama rakan iaitu adik dapat fokus serta mengadakan perbincangan mengenai pelajaran dengan rakan serumah.


0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90